Kenali PERKEBAR


KENALI PERKEBAR & PONDOK AR-RAUDHAH

Pertubuhan Kebajikan Ar-Raudhah Jempol Negeri Sembilan (PERKEBAR) adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Ia telah diluluskan pada 19.10.2012 dengan nombor pendaftaran PPM-005-05-19102012.

Cetusan penubuhan pertubuhan ini bermula apabila Pengasas merangkap Mudir, Tn. Hj. Nasir b. Othman yang juga Imam 1 Masjid Jamek Bahau merasakan bahawa sebuah pondok perlu didirikan di kawasan Jempol.

PERKEBAR ditubuhkan dengan tujuan untuk menjaga kebajikan dan dalam masa yang sama menganjurkan program berbentuk keagamaan bagi memantapkan nilai agama Islam dalam diri ahli khasnya dan masyarakat setempat amnya.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebuah pondok akan dibangunkan dengan nama Pondok Ar-Raudhah. Ia dibina dengan tujuan untuk membina sebuah pusat pengajian agama secara tidak formal kepada masyarakat Islam setempat. Ia juga bakal berperanan sebagai pusat pentarbiyahan jiwa untuk mendekatan diri kepada Allah dengan jalan tarekat yang berdaftar dengan Jabatan Mufti NS di bawah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Di samping itu, ia juga diharap akan dapat menjadi tempat penjagaan warga emas yang ingin beribadat dan beramal serta anak yatim yang memerlukan tempat perlindungan.

Bagi menunjukkan kesungguhan kami, Mudir telah mewakafkan tanah beliau (tapak Pondok Ar-Raudhah) kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pihak pengurusan ketika ini sedang giat mendapatkan sumber kewangan bagi merealisasikan pembinaan Pondok Ar-Raudhah. Sumbangan anda amat dialu-alukan. Sila salurkan ke akaun atas nama Pertubuhan Kebajikan Ar-Raudhah Jempol Negeri Sembilan bernombor 555032518240 (Maybank). Kebenaran memohon sumbangan juga telah pihak kami perolehi daripada pihak JHEAINS dengan nombor rujukan surat: Bil.(56)dlm. PANS.198(09)389/3Jld.3

Info berkenaan Pondok Ar-Raudhah juga boleh didapati di FB. [cari: Pondok Arraudhah].


AHLI JAWATANKUASA INDUK PEMBANGUNAN & PENGURUSAN PONDOK AR-RAUDHAH

Penasihat Utama: YBhg. Dato' Hj. Mohd. Khalid b. Mohd. Yunus

Penasihat I: Tn. Hj. Othman b. Ismail (Imam Masjid Kg. Lonek, Bahau, N. Sembilan)

Mudir/Pengasas: Tn. Hj. Md Nasir b. Othman (Imam Masjid Jamek Bahau, N. Sembilan)

Pengerusi: En. Fisal b. Johar (Bendahari Masjid Jamek Bahau)

N. Pengerusi: En. Mohd. Yunus b. Ahmad (Guru Pendidikan Islam, SMK Bahau

Setiausaha: En. Hakimi b. Md Said (Guru j-QAF Bahasa Arab, SK Tunku Muda Serting)

N. Setiausaha: En. Shaiful Baharin b. Mazlan (Pensyarah Kolej Komuniti Jempol, Bahau, N. Sembilan)

Bendahari: En. Ismail b. Hussain (Pegawai j-QAF, Pejabat Pendidikan Daerah Jempol Jelebu)

N. Bendahari: Tn. Hj. Rahman b. Yaakop (Mantan Pegawai FELDA)

Juruaudit: En. Lokman b. Othman (Pegawai Bank)

AJK Kehormat I: Prof Madya Hj. Mohammad Noor b. Hj. Othman (Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UITM Melaka)

AJK Kehormat II: En. Abd. Rasyid b. Ramli (Pengarah Kanan, Jabatan Penggubalan Undang-Undang, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia)

AJK Kehormat III: En. Mansor b. Ujang (Ketua Kampung Jambu 8, Bahau, N. Sembilan)

AJK Kehormat IV: En. Urusli b. Alias (Ketua Kampung Kuala Jempol, Bahau, N. Sembilan)

AJK Kehormat V: Pn. Norhayati bt. Hj. Musa (Pen. Peg. Hal Ehwal Islam, JHEAINS)


Tariqat Syazuli Darqawi

Tariqat Syazuli Darqawi

Raudhatul Hasani, Kump. Qasidah Pondok Ar-Raudhah

Raudhatul Hasani: Ya Hayati

Ahad, 26 Januari 2014

Terkini Pondok Ar-Raudhah 26.1.14



Assalamualaikum semua...

Admin doakan anda semua diberkati Allah dan senantiasa dalam peliharaanNYA.

Sepertimana yang admin pernah sebutkan dalam entri sebelum ini, pihak Pertubuhan menjalankan kerjasama erat dengan pihak Pejabat Daerah Jempol dalam usaha untuk mendapatkan kelulusan bagi membina bangunan di tapak Pondok ar-Raudhah.

Terbaru, pihak jurutera lantikan melaporkan hanya IWK dan JPS sahaja yang masih belum memberikan kelulusan kepada pelan yang telah disiapkan oleh jurutera. Meskipun bunyinya mudah tetapi setiap agensi tetap mengambil masa yang agak lama sebelum meluluskan dan mengemukakan kembali pelan tersebut kepada pihak Majlis Daerah Jempol.

Walaubagaimanapun, tuan Pengerusi dalam usaha mendapatkan maklumat terkini berkenaan perkembangan tersebut telah dijanjikan oleh Pegawai Perancang di Pejabat Daerah Jempol bahawa sekiranya semua pihak berkaitan memberikan kelulusan kepada pelan yang dikemukakan, pihak Majlis Daerah Jempol tidak akan mengambil masa yang lama sebelum memberikan kelulusan untuk memulakan pembinaan di tapak Pondok ar-Raudhah.

Pada masa yang sama, sekarang ini kerja meratakan tanah sedang giat dilakukan di tapak pondok. Ini kerana bahagian hadapan tapak pondok agak tinggi jika dibandingkan dengan bahagian belakang. Pihak Pertubuhan menjangkakan dan berharap kebenaran membina akan dikeluarkan oleh pihak Majlis Daerah Jempol sebaik sahaja kerja-kerja meratakan tanah selesai dilakukan.

Bersama entri ini, admin sertakan gambar kerja-kerja meratakan tanah yang sedang dilakukan. Admin turut berharap muslimin muslimat akan terus menyumbang, pada masa yang sama mewarwarkan perkembangan ini kepada kenalan dan sahabat handai. Moga ada yang terbuka hatinya untuk menyumbang. Kepada yang memerlukan flyers, brosur mahupun borang wakaf atau album qasidah untuk diedarkan boleh berhubung dengan individu di tepi blog ini untuk mendapatkannya.

Sekian buat waktu ini.

Wassalam.
















Program Bicara 5 Murabbi (Cinta Rasulullah) 1435H



Assalamualaikum pengunjung dan penyumbang semua...

Pada 23.1.14 yang lalu, Pondok Ar-Raudhah dengan kerjasama Masjid Jamek Bahau telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul dengan menampilkan Bicara 5 Murabbi (Cinta Rasulullah) 1435H. Idea membariskan 5 orang penceramah dalam satu program dicetuskan oleh Mudir Pondok Ar-Raudhah sendiri, Tn. Hj. Md Nasir. Alhamdulillah, sambutan pada malam tersebut amat menggalakkan. Tambahan pula, kebetulan sambutan itu sama ketikanya dengan sambutan di Masjid Tuanku Mukhriz Bandar Seri Jempol. Jika tidak, pastinya kehadiran lebih ramai jemaah dapat disaksikan.

Program bermula dengan makan malam pada jam 6.30 petang, diikuti dengan Solat Maghrib berjamaah. Selepas itu, jamaah bersama-sama mengikuti majlis solawat dan zikir. Bicara 5 Murabbi bermula selepas Solat Isyak berjamaah. Sepertimana gambar di atas, program pada malam itu membariskan al-Fadhil Ustaz Raja Mukhlis dari Bangi, al-Fadhil Ustaz Firdaus dari Jelebu, Mudir Pondok ar-Raudhah, Al-Fadhil Sheikh Sulaiman dari Melaka dan Sheikh Razak al-Misri dari Rawang.

Selain jamaah sekitar Bahau, majlis turut dihadiri oleh pelajar-pelajar STAM dari Maahad Ahmadi. Sehingga selesai majlis pada jam 11.15 malam, jamaah tidak berganjak. Mudir Pondok ar-Raudhah dalam aluan beliau berkata, setelah Pondok ar-Raudhah beroperasi kelak, lebih banyak dan kerap lagi program dan sambutan seumpama ini akan dianjurkan. Justeru, beliau menyeru jamaah yang hadir agar mendoakan kelancaran pembangunan pondok, pada masa yang sama terus menyumbang kepada pembangunan pondok.

Sekian buat waktu ini. Hingga bertemu lagi dalam entri yang lain. Salam mahabbah Rasulullah dari admin.

Wassalam.

Ahad, 5 Januari 2014

Terkini Pondok Ar-Raudhah: Brosur dan Kupon Derma



Assalamualaikum pengunjung dan penyumbang semua...

Admin doakan anda semua diberkati Allah selalu. Sedikit maklumat terkini berkenaan perkembangan Pondok Ar-Raudhah. Buat masa ini, Pertubuhan masih menunggu kelulusan daripada pihak Majlis Daerah Jempol (MDJ). Difahamkan masih terdapat beberapa pihak lagi seperti SAINS dan TNB yang perlu menyemak dan meluluskan pelan yang disediakan oleh jurutera yang dilantik sebelum kebenaran boleh diberikan oleh pihak MDJ. Khabarnya jika tiada masalah, kelulusan akan diperolehi dalam bulan Januari ini. Sama2 kita doakan agar semua urusan tersebut dipermudahkan Allah.

Disamping itu, admin mengambil peluang untuk memaklumkan kepada anda semua berkenaan kupon derma dan brosur terbaru yang pihak Pertubuhan keluarkan. Berkenaan resit derma, ia telah agak lama disiapkan. Walaubagaimanapun, Pertubuhan terpaksa menunggu kelulusan memungut derma daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terlebih dahulu sebelum ia boleh dikeluarkan. Alhamdulillah, kelulusan memungut derma telah diperolehi pada 1.10.13 yang lalu. Begitupun, kupon derma tersebut perlu dicop dengan cop JHEAINS sebelum ia dikeluarkan dan baru2 ini Mudir dan N. Pengerusi telah ke pejabat JHEAINS di Seremban untuk urusan tersebut.

Untuk itu, kupon ini dengan rasminya boleh dikeluarkan dan terbuka untuk pembelian oleh mana2 individu yang berhajat untuk menyumbang. Anda boleh berhubung dengan individu seperti tertera di tepi blog ini untuk tujuan sumbangan mahupun jika ingin membantu memungut derma bagi pihak Pertubuhan.

Perkara kedua yang ingin admin maklumkan dalam entri kali ini ialah berkenaan brosur terbaru yang Pertubuhan keluarkan. Memandangkan cetakan pertama telah habis diedarkan, kini cetakan kedua dikeluarkan. Alhamdulillah, salah seorang AJK Kehormat Pertubuhan telah bermurah hati menyumbang kos cetakan tersebut. Bersama entri ini juga, admin sertakan gambar brosur terbaru tersebut untuk tatapan anda.



Teruskan menyumbang samada dalam bentuk wakaf, pembelian album qasidah Badrun Min mahupun derma kepada Pondok Ar-Raudhah. Seperti biasa, sila berhubung dengan individu berkenaan. Sama2 kita doakan kejayaan pembinaan Pondok Ar-Raudhah di Jempol.

Sekian buat waktu ini.

Wassalam.